2 OGOS 2021: Ahli-ahli Parlimen pembangkang berhimpun di kawasan berdekatan dengan Dataran Merdeka pagi ini selepas mereka dilarang memasuki Parlimen.
Seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal memasuki bangunan Parlimen.
Mereka dihalang menuju ke Parlimen melalui Jalan Parlimen dari Bulatan Dato Onn oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Antara mereka termasuklah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; Ahli Parlimen Pantai, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut hadir sama.
Turut kelihatan adalah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahl Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Turut hadir menyertai perarakan tersebut antaranya Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal. Selain itu, hadir sama ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.
Laluan masuk ke Parlimen di sini, dikawal ketat oleh polis selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang dilihat cuba memasuki bangunan Parlimen.
Dalam pada itu, kehadiran Dr. Mahathir, yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diumumkan oleh Saifuddin sebelum Anwar dilihat memberhentikan ucapannya dan menyerahkan mikrofon bagi memberi laluan kepada Dr Mahathir.
Dr Mahathir dalam ucapan beliau antaranya menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menumpukan kepada masalah rakyat berbanding masalah politik.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Langkawi itu dan Anwar dilihat sudah lama ‘tidak sepentas’ selepas Ahli Parlimen Langkawi itu mengambil keputusan untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis politik pada 2020.
Sidang khas Parlimen yang seharusnya disambung hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Perkara itu dimaklumkan melalui surat kepada Ahli Parlimen yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.
Penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.
“Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” kata surat penangguhan itu.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat sampel RT PCR kes positif COVID-19 hasil daripada saringan yg dijalankan di Parlimen menunjukkan terdapat unsur berkaitan varian Delta atau varian Kappa.
Menurut Dr Noor Hisham, keputusan itu dikeluarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang menerima empat sampel daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.
“Hasil daripada PCR Genotyping Assay, kesemua 4 sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.
“Namun berdasarkan VOC (varian yang membimbangkan) yang sedang menular di dalam komuniti, ia berkemungkinan besar adalah varian Delta,” kata beliau.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan keadaan individu yang ramai ketika sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang berlangsung bermula 26 hingga 29 Julai lalu telah mencetuskan kebimbangan pihak KKM yang melihat kepada kadar penularan COVID-19.
Dalam pada itu, polis berkata pihaknya akan memanggil kesemua 107 Ahli Parlimen Pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka sebagai reaksi menunjukkan bantahan kepada penangguhan Parlimen.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis telah mengenal pasti kesemua peserta Perhimpunan Solidariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen dan akan memanggil mereka dalam masa terdekat.
Beliau juga memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang notis pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan itu.
“Ingin saya jelaskan di sini bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat daripada media mengatakan hari ini akan berlaku Perhimpunan Solidariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen.
“Semakan dengan Parlimen mendapati tiada sebarang persidangan pada hari ini dan justeru itu, kita telah membuat sekatan dan lencongan dengan tidak membenarkan kumpulan itu memasuki Parlimen,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut Azmi mengesahkan, setakat ini polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu.
“Kita akan lakukan siasatan seperti perhimpunan lain dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
“Daripada situ kita tahu apa tindakan lanjut akan dibuat,” jelasnya.
Beliau memberitahu, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta 342 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Azmi juga memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang notis pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan itu.