31 MP BN sokong PM, Muhyiddin sambut baik, 2 pemimpin UMNO nafi

Datuk Seri Ismail Sabry Yaakob mengetuai sidang media di Kuala Lumpur pagi ini.

6 OGOS 2021: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa seramai 31 Ahli Parlimen BN termasuk 28 dari UMNO menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen bersidang September ini.

“Pendirian kami adalah ahli parlimen junjung kasih dan junjung titah Yang di-Pertuan Agong iaitu perkenankan supaya kerajaan har ini meneruskan pentadbirannya dan akan menentukan keabsahan ini di parlimen,” kata beliau.

Susulan kenyataan Ismail itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik sokongan yang diberikan oleh wakil rakyat BN kepada beliau dan kerajaan PN.

“Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai perdana menteri ditentukan di parlimen pada Sept dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain.

“Ini adalah selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu,” kata Muhyiddin dalam kenyataan hari ini.

Kira-kira 11.30 pagi tadi, Ismail yang juga Naib Presiden UMNO mendakwa seramai 31 Ahli Parlimen BN menyokong kerajaan PN.

Sehubungan dengan itu, Muhyiddin berharap pendirian Ahli-ahli Parlimen BN itu akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini.

Malah, Muhyiddin juga berharap kerajaan diberi ruang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani Covid-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.

“Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,” tambahnya.

Pada 4 Ogos lalu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU terus berdepan tekanan berhubung keabsahan jawatannya sebagai perdana menteri selepas sekurang-kurangnya 11 ahli parlimen Umno membatalkan sokongan mereka.

Sebelum itu Muhyiddin dianggap memiliki sokongan majoriti namun tipis. Ia juga tidak pernah diuji atau dibuktikan di parlimen.

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata, tidak timbul isu dia perlu meletakkan jawatan kerana masih mempunyai majoriti di parlimen.

Beliau juga berjanji untuk membawa usul undi percaya pada sidang parlimen dijadual bulan depan. Pun begitu pembangkang meragui ketetapan berkenaan, antara lain berdasarkan penangguhan yang dibuat pada 2 Ogos lalu atas alasan ancaman Covid-19.

Ahli-ahli Parlimen yang hadir pada sidang media dipimpin Ismail:
Mastura Yazid (Kuala Kangsar)
Mahdzir Khalid (Padang Terap)
Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar)
Halimah Saddique (Kota Tinggi)
Jalaluddin Alias (Jelebu)
Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas)
Mohd Salim Sharif (Jempol)
Annuar Musa (Ketereh)
Ismail Mohamed Said (Kuala Krau)
Hassan Arifin (Rompin)
Abdul Rahman Mohamad (Lipis)
Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak),
Idris Jusoh (Besut)
Shahidan Kassim (Arau)
Ismail Abd Muttalib (Maran)
Wee Ka Siong (MCA- Ayer Hitam)
M Saravanan (MIC-Tapah)

Yang tidak hadir, tetapi menurut Ismail mereka menyokong kerajaan PN:

Khairy Jamaluddin (Rembau)
Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas)
Dr Adham Baba (Tenggara)
Arthur Joseph Kurup (PBRS-Pensiangan)
Hishammuddin Hussein (Sembrong)
Mohamad Alamin (Kimanis)
Zahidi Zainul (Padang Besar)
Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya)
Wee Jeck Seng (MCA- Tanjung Piai)
Ahmad Hamzah (Jasin)
Mohd Nizar Zakaria (Parit)
Noh Omar (Tanjong Karang)
Azeez Abdul Rahim (Baling)

Bagaimanapun Noh dalam sidang media berasingan pada sebelah petang menafikan beliau menandatangani surat akuan yang menyokong Muhyiddin seperti yang diumumkan oleh Ismail.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu berkata, tandatangannya dalam senarai kehadiran yang ketika ini tular di media sosial, sama sekali bukan bagi menyokong Mahiaddin.

Sebaliknya ianya hanyalah untuk mengesahkan kehadiran pada mesyuarat melibatkan Ahli Parlimen BN dan tidak lebih daripada itu.

Penafian yang sama turut dibuat oleh Azeez, yang mengatakan bahawa beliau tidak mengkhianati arahan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Beliau yang juga Ahli MKT parti itu berkata, tidak pernah menandatangani sebarang surat atau dokumen, namun tidak menafikan menandatangani kehadiran dalam perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, gambar tandatangan itu menjadi tular menyebabkan pelbagai dakwaan negatif berlegar di media sosial terhadapnya.

Leave a Reply