MP Mas Gading: ‘Saya masih teguh sebagai wakil rakyat DAP, PH’

12 MAC 2021: Ketika isu melompat kembali menjadi perhatian sejak kebelakangan ini, Ahli Parlimen Mas Gading dari DAP, Mordi Bimol menafikan beliau akan meninggalkan parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Mordi menegaskan, beliau tidak akan melompat parti walaupun keadaan itu seakan menjadi norma baharu politik negara ketika ini.

“Saya tegaskan di sini, itu tidak benar. Saya masih teguh sebagai wakil rakyat DAP serta Pakatan Harapan’’.

“Lompat parti antara norma baru yang masih dikecam tetapi tetap rancak dalam politik di negara kita hari ini. Ini mencerminkan bukan sahaja ketidakstabilan politik Malaysia malah ketidakstabilan prinsip wakil rakyat hari ini.

“Saya akan terus bersuara dan berkhidmat untuk rakyat yang saya wakili terutamanya di Mas Gading. Masalah kesihatan sedikit mengganggu prestasi saya tapi bukan prinsip saya. Saya terlibat dalam politik bukan atas dasar minat, tapi tanggungjawab dan yang menghantar saya ke Parlimen adalah rakyat Mas Gading,” kata beliau dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Mas Gading dari DAP, Mordi Bimol.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa isu peruntukan khas dijadikan faktor utama yang menyumbang kepada situasi politik semasa.

Mordi berkata, perkara itu dijadikan sebagai modal untuk menarik sokongan daripada wakil rakyat untuk menyertai blok kerajaan.

“Dari dulu hinggalah sekarang, hanya wakil rakyat blok kerajaan sahaja akan menerima peruntukan tersebut, tapi tidak blok pembangkang.
Maka itulah salah satu modal yang digunakan untuk memancing wakil-wakil rakyat daripada blok pembangkang,” kata Mordi.

Bagi Mordi pendiriannya tetap satu, untuk terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti dan mempertahankan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Leave a Reply