Undi 18: Takiyuddin serah kepada SPR, KBS mahu penjelasan

15 MAC 2021: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menentukan sama ada negara sudah bersedia untuk melaksanakan dasar Undi 18 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurtu beliau, tanggungjawab kerajaan telah ditunaikan sebaik sahaja Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan oleh Parlimen pada Julai 2019.

Katanya, SPR perlu menjelaskan sama ada pihaknya telah mengambil tindakan dan perlu melaporkan kepada umum mengenai perkembangan berkenaan.

“Itu adalah perancangan kerajaan terdahulu, apabila membuat pindaan terhadap Artikel 47 mengenai umur calon, dan Artikel 119 mengenai umur minimum layak mengundi, apabila sudah dipinda perlembagaan, jadi perkara itu (diluluskan dalam Parlimen).

“Jadi sekarang ini, SPR perlu jelaskan sama ada mereka telah ambil tindakan dan melaporkan (kepada umum mengenai perkembangan berkenaan).

Pelaksanaan dasar Undi 18 kini menjadi tanda tanya dengan pelbagai pihak mahukan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Foto ihsan Astro Awank

“Ini bukan urusan kerajaan, walaupun SPR ini satu jabatan, tetapi ia satu suruhanjaya bebas, dan mereka yang akan ambil tindakan berhubung dengan apa-apa pindaan undang-undang berkaitan mereka (termasuk perkembangan Undi 18). Jadi, elok dikemukan (soalan) kepada SPR untuk mendapat penjelasan,” kata beliau dipetik Astro Awani.

Pada 10 Mac lalu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyatakan bahawa kelayakan mengundi pada PRU-15 pada usia minimum 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa depan bakal menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Ini kerana menurut beliau, terdapat pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Takiyuddin pada November tahun lalu menyatakan bahawa kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai ini.

Dengan kelulusan itu, jelas beliau, PRU15 akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding had usia minimum 21 tahun sebelum ini.

Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada 16 Julai 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan. RUU itu juga telah diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga pada 25 Julai pada tahun yang sama.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mahu SPR memperjelaskan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan dasar Undi 18 tahun supaya rakyat mendapat maklumat yang betul dan jelas berhubung isu berkenaan.

Katanya, SPR selaku badan bebas, harus tampil membuat penjelasan kerana perjalanan dasar undi 18 kini memasuki fasa pelaksanaan.

“Peringkat penggubalan sudah selesai, kita sudah meminda Perlembagaan bagi membolehkan perkara (menurunkan usia mengundi) sudah berlaku.

“SPR perlu tampil membuat penjelasan, cara kerja, perjalanan dan perancangan bagaimana ia hendak dilaksanakan. Ini soal peringkat pelaksanaan, prosesnya panjang. Perlukan pindaan lain, penyelarasan, pindaan undang-undang tubuh kerajaan negeri, jadi mereka perlu tampil dan perjelaskan,” kata beliau dipetik Bernama.

Reezal Merican berkata, kementeriannya tidak boleh mendahului SPR dalam mendepani isu terbabit kerana badan itu diberikan peranan dan tanggungjawab menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih, khususnya dalam menjelaskan hala tuju dasar Undi 18.

Katanya, ini termasuk dari segi pendaftaran pengundi, hak kelayakan mengundi dan menjadi calon pada usia itu.

Beliau berkata, pelaksanaan Undi 18 harus dijadikan realiti kerana ia disokong 211 Ahli Parlimen dengan mengetepikan pandangan politik masing-masing, yang membawa kepada kelulusannya pada peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Leave a Reply