16 MAC 2021: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat Menteri Kanan bertemu dengan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar sebelum wakil rakyat itu mengumumkan keluar partinya.
“Dia (Dr Xavier) jumpa saya seminggu sebelum itu, dia jumpa saya dan sebut pasal masalah yang dia hadapi. Saya beritahu dia, jangan risau jika dia tidak bersalah, kita (PKR) akan pertahankan dia.
“Kemudian dia cakap, dia berjumpa dengan Menteri Kanan yang juga mengugut dia,” kata Anwar yang juga Ketua Pembangkang pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Pada Sabtu lalu, beliau memaklumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Kata beliau, tindakan itu dibuat selepas beliau kecewa terhadap situasi politik yang berlaku di negara ini.
Dalam pada itu, Dr Xavier turut mengumumkan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Anwar turut mendedahkan bahawa lima daripada Ahli Parlimen parti itu menerima ugutan dan sogokan sebagai ‘umpan’ untuk menarik dukungan mereka.
Menurut beliau, ugutan terbabit hanya untuk mendera Ahli Parlimen pembangkang agar menyatakan sokongan kepada pihak tertentu.
“Dalam kes SPRM yang terbaru, memang nyata ia jadi senjata politik. Kalau lompat, siasatan ditangguh, kamu tetap didera. Saya pagi esok akan tulis pada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta pertemuan untuk jelaskan hal sedemikian.
“Selain Yang Berhormat Natrah (Natrah Ismail – Sekijang), (Ahli Parlimen) Padang Serai, Sungai Siput, Putatan, Miri memang sebut ada yang mereka beri ugutan atau pelawa dengan pelbagai sogokan dan umpan untuk menarik dukungan mereka,” dedah Anwar lagi.
Ujarnya, semua pemimpin PKR di peringkat pusat dan negeri sentiasa menyokong agenda membanteras jenayah.
Namun tegas Anwar, jika ugutan dibuat demi menekan beberapa Ahli Parlimen pembangkang agar mendapat sokongan, katanya itu adalah politik penipuan.
“Saya nak tegaskan disini, dengan tarik lima atau enam orang ke Perikatan Nasional (PN), dia belum lagi dapat majoriti.
“Sekarang dia (PN) dapat tiga Ahli Parlimen, (jika) enam Ahli Parlimen pun belum cukup 110 Ahli Parlimen.
“Ini saya pasti dengan kenyataan yang jelas,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.