4 APRIL 2021: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan manifesto pihaknya adalah sesuatu yang “padat” tetapi tidak akan menjanjikan “bulan dan bintang” sebagaimana dilakukan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, beliau berkata, tempoh pemerintahan 22 bulan di bawah PH menyaksikan manifesto pakatan itu hanya sekadar janji kosong seperti “Janji Manismu” dendangan penyanyi Aisyah.
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk selepas kejatuhan PH juga tidak menyediakan sebarang manifesto.
“Kita boleh menilai sendiri apa yang dilakukan PH ketika itu. Berbagai alasan diberikan kerana tidak mampu menunaikan janji.
“Padahal sebelum PRU14 pasukan mereka jugalah yang memasang khemah pengakap di Dataran Merdeka bagi menuntut PTPTN dihapuskan.
“Maka, tiada hala tuju dan garis panduan yang boleh dilaksanakan. Berbanding Barisan Nasional (BN), gabungan parti terlebih dahulu merangka manifesto,” kata Presiden UMNO ini.
Malah menurut beliau, apa yang penting aku janji itu adalah logik dan berkeupayaan untuk ditunaikan kerana BN amat mementingkan kebajikan rakyat, membangunkan negara dan ekonomi.
Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau telah menerima saranan Pemuda dan Puteri UMNO sewaktu perhimpunan agung parti itu baru-baru ini supaya disediakan satu tawaran baharu untuk menarik kembali sokongan rakyat.
Sehubungan dengan itu kata Zahid, beliau telah pasukan diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin supaya merangka manifesto.
“Dan saya juga difahamkan bahawa manifesto itu padat, jelas dan mampu ditunaikan. Fokus kami memperbaiki negara dan ekonomi selain mahu memulihkan kadar pengangguran pada tahap yang rendah,” kata beliau lagi.