PRU-15: Mahathir akan tanding jika ‘tekan kuat sangat’

19 APRIL 2021: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan besar akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya terdapat banyak permintaan daripada penyokong setianya.

Dipetik Astro Awani, Dr Mahathir berkata, beliau ketika ini berada dalam keadaan serba salah memandangkan keputusan awal yang dibuatnya sebelum ini adalah tidak mahu bertanding lagi dalam PRU akan datang.

Katanya, keadaan yang berlaku ketika ini adalah sama seperti sewaktu beliau dicalonkan sebagai salah seorang calon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU-14 tiga tahun yang lalu.

“Saya serba salah, saya tak mau bertanding tetapi orang (penyokong) asyik tekan (desak) saya (bertanding). (Situasi) macam hari itu juga (semasa PRU-14), pun saya tidak mahu bertanding, tetapi orang tekan saya suruh saya bertanding juga.

“Jadi kalau dia ‘tekan’ kuat sangat, mungkinlah (saya bertanding lagi); kalau tidak berapa kuat, saya tak bertandinglah.

“Kalau orang datang berduyun-duyun di rumah (minta saya pertimbangkan, saya mungkin bertanding). (Contohnya) hari itu pun macam tu juga. (Apabila) saya letak jawatan, dalam seminggu (sahaja) datang beberapa rombongan minta saya do something.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih, di Masjid Al-Ehsan Temonyong di Langkawi.

Sebelum ini, beliau ada memberi bayangan akan kembali bertanding dalam PRU-15 berikutan terdapat permintaan daripada penyokongnya yang tidak membenarkan beliau bersara. Beliau yang pernah dua kali menerajui tampuk pemerintahan negara menegaskan, apabila mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU15 sebelum ini, telah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokongnya.

Leave a Reply