5 JUN 2021: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pembukaan Parlimen hanya akan dilaksana sekiranya proses imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan tercapai.
Pada masa yang sama menurut beliau, kerajaan ketika ini menghadapi cabaran apabila ada sesetengah pihak yang dipercayai menjalankan kempen antivaksin sekali gus melambatkan sasaran untuk dicapai.
“Ada setengah kumpulan, ahli politik kata Parlimen mesti dibuka. Saya hendak bagi contoh, kalau Parlimen dibuka, katalah sebulan, selalunya hari Isnin sampai Khamis (empat hari berturut-turut berapa orang ada.
“Ada Ahli Parlimen, pegawai, pegawai kerajaan, pegawai dan kakitangan Parlimen, kafeteria, pemandu dan lain-lain.
“Melebihi 1,000, saya hendak tunjukkan, kebanyakan ini menjadi hotspot, kalau ini kita kawal, tidak adalah kluster (Parlimen) itu,” kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas lawatan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di salah sebuah kompleks beli-belah hari ini.
Di perkembangan yang berbeza, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penutupan Parlimen sejak sesi berakhir 15 Disember tahun lepas mengakibatkan isu rakyat tidak dapat dibahaskan dengan tuntas.
Jelasnya, ia termasuk isu kesenjangan ekonomi, kesihatan mental rakyat, keganasan rumahtangga dan pendidikan.
Hamzah pula memberitahu bahawa penganjuran Kongres PKR secara maya membuktikan parti itu sendiri tidak mempunyai keberanian untuk membuat sebarang perjumpaan bersemuka seperti di Parlimen.
Bagaimanapun, jelas beliau, pembukaan Parlimen secara secara maya tidak dinafikan dapat diadakan namun perlu dilakukan kajian selanjutnya.
“Saya tengok dalam surat khabar, PKR dengan bangga hendak buat kongres secara maya, jadi maknanya apa?
“Dia (PKR) pun tidak berani buat perjumpaan seperti gesaan buka Parlimen, jadi kalau tidak berani hendak buka, dia buat secara maya, jadi kalau kita hendak buka Parlimen secara maya, banyak pula masalah lain.
“Bagaimana hendak buat secara maya? Ramai, pegawai kerajaan, beribu lagi, ini yang akan kita fikirkan, kalau boleh apa salahnya tetapi ia mengambil satu perkiraan untuk apa yang dibuat mesti ada kajian yang betul. Jangan ikut perasaan,” tegas Hamzah lagi.