Perlis negeri pertama umum kembali bersidang, 24 Ogos

18 JUN 2021: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dijadual kembali bersidang selama tiga hari bermula 24 Ogos, kata Speaker DUN Perlis Hamdan Bahari.

Hamdan berkata, Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Sidang DUN ke-14 itu mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan baginda berkenan untuk merasmikannya pada 24 Ogos.

“Kita tidak mempunyai masalah untuk mengadakan sidang DUN memandangkan tempoh darurat akan tamat pada 1 Ogos,” kata beliau dipetik BERNAMA.

Beliau berkata, satu mesyuarat bersama agensi berkaitan antaranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri (JPN) Perlis dan agensi berkaitan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mendapat nasihat dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan lain berkaitan COVID-19.

“Ini bukan kali pertama sidang DUN berlangsung dalam tempoh wabak COVID-19 namun kita akan tetap beri penekanan terhadap aspek pematuhan SOP sepertimana yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Hamdan menasihati ahli dewan yang akan mengikuti persidangan agar memberi tumpuan kepada isu berkaitan dengan usaha memutuskan rangkaian COVID-19 berbanding dengan isu lain.

Leave a Reply