18 JUN 2021: Tidak ada keperluan untuk Dewan Undang Negeri (DUN) menunggu Parlimen bersidang dahulu, sepanjang tempoh Proklamasi Darurat, kata Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.
Beliau berkata, Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 mengenai perjalanan DUN, tidak perlu dibaca bersama Seksyen 14 Ordinan Darurat yang sama, mengenai perjalanan Parlimen.
Namun, jelasnya lagi, ia memerlukan persetujuan bersama selepas Yang di-Pertuan Agong selesai berunding dengan Ketua-ketua Negeri, sama ada Sultan, Raja, ataupun Yang di-Pertua Negeri-negeri, selaras dengan Seksyen 15 (1) (b) Ordinan tersebut.
“Perenggan B, Ordinan Darurat 2021 jelas mengatakan kalau DUN mahu bersidang, perlu ada persetujuan bersama antara YDP Agong dengan Ketua Negeri tersebut perlu ada persetujuan, antara YDP Agong dan Sultan, atau Raja, atau TYT. Cuma persetujuan itu bukan dengan Ketua Menteri atau Menteri Besar.
“Jadi boleh dilakukan dan tidak perlu tunggu Parlimen bersidang, kerana Seksyen 15 boleh dibaca berasingan dengan Seksyen 14. Jadi persidangan DUN memang boleh dilakukan dengan persetujuan bersama,” katanya lagi.
Seksyen 15 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 bagi perjalanan DUN berbunyi: – “Dewan Undangan Negeri hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Raja atau Yang di-Pertua Negeri yang berkenaan”.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan pada 16 Jun berkata, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
Beliau berkata, Raja-raja Melayu bertitah bahawa perkara itu penting bagi menghormati mekanisme semak dan imbang sebagai antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.
“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.
“Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus COVID-19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Susulan kenyataan itu, beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju dengan pandangan Raja-raja Melayu agar sesi DUN dapat diteruskan di negeri masing-masing.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam catatan di Facebooknya berkata, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah memperkenan untuk disediakan surat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan sesi DUN Pulau Pinang.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad dalam kenyataan pada 17 Jun berkata, Kerajaan Negeri Johor sedia untuk mengadakan Persidangan DUN dengan segera seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Johor.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari pula berkata, titah Agong dan Raja-raja Melayu agar Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri segera bersidang, adalah selaras dengan aspirasi rakyat agar usaha menangani COVID-19 dapat dinilai, dan dibahas dengan segera.