5 JULAI 2021: Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.
Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan turut bersetuju memaklumkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pemakluman itu.
Sementara Mesyuarat Khas bagi Dewan Negara adalah selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, mesyuarat kali ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.
“Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan dikeluarkan itu.
Malah menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat ini akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, Nota Jemaah Menteri juga telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini.