5 OGOS 2021: Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Ahli-ahli Parlimen parti itu untuk menarik diri daripada kerajaan Periktan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub di dalam piagam Muafakat Nasional (MN).
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia secara tidak langsung akan menggugat perancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pada masa yang sama usaha untuk menangani penularan wabak COVID-19 serta usaha membantu rakyat terjejas teruk,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, Tuan Ibrahim turut menzahirkan dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
“PAS melahirkan rasa dukacita dengan langkah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang bertindak mengarahkan ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada kerajaan PN,” kata beliau.
Pun begitu kata Tuan Ibrahim, PAS akan kekal yakin dengan asas penubuhan MN yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.