6 OGOS 2021: Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi berkuat kuasa serta-merta.
Dengan keputusan itu, beliau menjadi anggota jemaah menteri pimpinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kedua berbuat demikian.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan beliau meletak jawatan, 3 Ogos lalu.
Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, tindakannya itu adalah susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN.
“Berdasarkan keputusan MKT UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta. Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang,” kata beliau dalam satu kenyataan media.
Kata Noraini, menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantunya melaksanakan tugas.
“Saya percaya, kita sudah berusaha melakukan terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia.
“Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan. Semoga Allah merahmati negara kita dan melindungi kita semua,” kata beliau.