Muhyiddin yakin, sedia hadapi apa jua kemungkinan bulan depan

6 OGOS 2021: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bersedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan ketika sidang Parlimen bulan depan.

Kata Muhyiddin, beliau yakin masih memiliki bilangan majoriti sokongan daripada Ahli Parlimen.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau tidak takut untuk berdepan usul undi percaya kepada Perdana Menteri berikutan usul itu sudah biasa dilakukan sebelum ini.

Katanya, penentuan bagi membuktikan keabsahan sebagai Perdana Menteri, dibuat pada bulan depan kerana perkara itu dipersetujui dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam sesi menghadap baru-baru ini.

“Saya yakin sehingga hari ini walaupun ada pengumuman-pengumuman dibuat pihak tertentu yang konon tak menyokong saya, mungkin depan macam itu tapi belakang mungkin lain.

“Ini masalah politik (yang) ramai pihak keliru. Jadi nak selesaikan perkara itu kita bawa ke Parlimen, saya mesti hadapi apa pun kemungkinan (kerana) saya tak takut dan bimbang tapi saya yakin (memiliki majoriti),” kata beliau selepas Penyampaian Sumbangan Makanan Basah kepada Penghulu Parlimen Pagoh di Pagoh hari ini.

Beliau yang juga Presiden BERSATU diminta mengulas kenyataan yang mempertikai kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri selepas beberapa Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Pada Rabu lalu, Muhyiddin menegaskan bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan PN akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Leave a Reply