Muhyiddin: Kerjasama komponen PN kukuh, harap parti Melayu kekal abadi

5 MAC 2021: Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan harapan agar parti-parti Melayu yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus “kekal abadi dan utuh” sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti-parti lain yang tidak menyertai PN terutama UMNO untuk membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama terbabit.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memberitahu, kerjasama membabitkan parti-parti PN masih kukuh terutama selepas kenyataan rasmi dikeluarkan Pas yang berpendirian kekal bersama PN dalam meneruskan apa yang direncanakan sebelum ini terutama isu-isu berkaitan kesejahteraan rakyat.

“Kita dah bincang semalam dengan kelmarin (dalam) Mesyuarat Biro Politik BERSATU dan majlis, dan kita dah buat kenyataan rasmi tentang pendirian kita.

“Semalam kita pun adakan mesyuarat dengan PAS, dan Alhamdulillah PAS menyatakan pendirian yang cukup kukuh (untuk) kekal bersama Perikatan Nasional, meneruskan apa yang kita rancang, memperkukuhkan kerjasama antara parti yang ada (dan) tumpuan pada piliha raya,

“Saya fikir tidak menjadi apa-apa masalah walaupun kita mahu melihat gabungan parti Melayu, kalau boleh terus kekal abadi sampai ke depan, kerana rakyat suka. Tapi apa-apa pun, saya serahkan kepada rakan pimpinan parti lain (yang tidak berada di dalam PN), (namun parti di) dalam PN, Alhamdulillah keadaan masih kukuh,” kata Muhyiddin dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau, Perlis hari ini.

UMNO telah menghantar surat kepada Muhyiddin pada 26 Februari lalu, berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menamatkan kerjasama dengan BERSATU dan PN dalam PRU15.

Leave a Reply