HUJUNG MINGGU: Selepas teka-teki sejak September 2020, akhirnya hubungan UMNO-BERSATU sudah jelas untuk buat masa ini.
Pada tanggal 4 Mac, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah pun memutuskan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, Ahmad berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pada 19 Februari lepas, seperti yang dilaporkan beberapa media.
Walaupun laporan media awal dinafikan tetapi kenyataan 4 Mac itu telah mengesahkan pendirian sebenar UMNO dalam hubungannya dengan BERSATU.
Pun begitu, UMNO memutuskan untuk meneruskan kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang dibentuk genap setahun yang lalu, sehingga pembubaran Parlimen, yang tarikhnya masih belum jelas. Ada yang mengatakan sebaik selepas proklamasi darurat berakhir.
“Sejak dari awal UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif, mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat,” kata beliau, dan menambah bahawa, oleh itu, “keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam Kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19.”
Pendirian itu dinyatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam suratnya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan MKT untuk menamatkan kerjasama dengan BERSATU dan PN menjelang PRU15.
Bagaimanapun bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan pula mendakwa, UMNO sudah membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan Bersatu, namun tidak mengumumkannya kepada ahli.
Biarpun perkara ini sudah dilaporkan media sejak hujung bulan lepas, UMNO menafikan laporan berita bahawa mereka menolak kerjasama tersebut. Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan UMNO dalam satu kenyataan pada 21 Februari lepas berkata, laporan yang dibuat media mengenai penolakan kerjasama itu tidak betul dan ibu pejabat UMNO menandang serius dakwaan berkenaan.
Kini semuanya sudah jelas. Keputusan itu akan mengubah penjajaran politik menjelang PRU-15 dan seterusnya?
Dalam kenyataannya, Setiausaha Agung UMNO turut mengesahkan tentang satu perjumpaan khas antara UMNO, BERSATU dan PAS, yang diwakili lima kepimpinan tertinggi parti telah diadakan pada 15 Februari lalu. Dalam pertemuan tersebut, beliau berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN meminta UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kerjasama politik dengan BERSATU, sebelum rundingan kerusi dapat diteruskan. Atas sebab itu, menurut Ahmad berkata, MKT telah membuat mesyuarat berkenaan, dan mencapai kata putus seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.
BERSATU mengatakan bahawa memandang serius kandungan surat yang dihantar oleh Zahid pada 26 Februari lalu. Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kandungan surat itu mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di antara UMNO, BERSATU dan PN di masa hadapan.
“Dalam hal ini, Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang. BERSATU juga berpendirian bahawa Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat,” jelasnya dalam kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Khamis.
Dalam pada itu, PAS menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya. Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, PAS juga menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin.
Takiyuddin menjelaskan, PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama dengan UMNO dan BERSATU demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima majoriti rakyat. “PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar,” kata Takiyuddin pada 5 Mac lalu.
Takiyuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, demi menjayakan usaha itu PAS akan meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama ketiga-tiga parti. Katanya: “PAS akan terus berusaha memperkasa Muafakat Nasional, sekali gus mempertahan PN di semua peringkat.”
Pengumuman secara rasmi UMNO ketika PN meraikan kejayaan setahun menerajui Putrajaya mengejutkan banyak pihak selepas ia menjadi satu “rahsia terbuka” sejak suku akhir tahun lalu terutama sekitar Pilihan Raya Negeri Sabah pada penghujung September dan ketika Parlimen membahaskan Belanjawan 2021.
Kini banyak pihak melihat keputusan mutkamad ini akan membuka laluan kepada penjajaran baharu politik menjelang PRU-15. Perkembangan ini juga dilihat akan membawa kepada persaingan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang.
Suhu politik negara terus berada di paras yang tinggi selepas setahun PH membentuk kerajaan.
Di tengah-tengah krisis hubungan dua parti utama Melayu ini, sudah ada kedengaran desas-desus seorang pemimpin UMNO akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kita tunggu perkembangan minggu depan.