ADUN Sebatik keluar WARISAN Februari lalu sah sertai BERSATU

5 APRIL 2021: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir hari ini menyerahkan borang keahlian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus menjawab teka-teki mengenai hala tuju politik beliau selepas mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menjadi wakil rakyat bebas dua bulan lalu.

Hassan menyerahkan borang menyertai BERSATU kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor.

ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir

Hajiji kemudian menyerahkan borang berkenaan kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sambil disaksikan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun Kedua BERSATU Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Pada 25 Februari lalu, Hassan mengumumkan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat nasional.

Hassan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September lalu atas tiket WARISAN.

Leave a Reply