16 MAC 2021: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan kemungkinan boleh ada kerjasama antara parti itu dan UMNO tetapi menyifatkan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.
Menurut beliau, banyak persoalan dibangkitkan mengenai perbincangannya dengan Umno sejak wawancaranya dengan Mingguan Malaysia pada 14 Mac lalu.
“Kalau baca seluruh konteks (laporan) itu saya kata agak terlalu awal untuk kita katakan ada perjanjian atau persefahaman.
“Ada perbincangan awal antara PKR dan UMNO… saya tak nafikan kemungkinan kerjasama. Ini saya sampaikan kepada Ahli Parlimen dan pimpinan negeri untuk sampaikan kepada akar umbi.
“(Tetapi) Jangan andaikan sudah ada persefahaman kerana banyak beri komen kata (sudah) ada perjanjian,” kata beliau kepada pemberita hari ini.
Ketua Pembangkang itu ditanya mengenai pelbagai spekulasi dan perkembangan dalam media sejak akhir-akhir ini yang rata-ratanya menjurus kepada kesimpulan bahawa sudah ada satu persefahaman atau perjanjian antara dua parti tersebut.
“Saya (cuma) sebut istilah perbincangan, ia belum formal. Saya jumpa semua, apa hak saya untuk nafikan. Dengan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) pun saya bincang dulu, kenapa tidak boleh dengan orang lain?” kata beliau.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu memberitahu bahawa perbincangan itu adalah permulaan yang sangat ‘positif’ antara dua parti yang membincangkan beberapa perkara penting antara dua pihak.