12 MAC 2021: Pihak yang tidak mempercayai orang muda dan tidak menyokong inisiatif undi 18 sebagai “ketinggalan zaman” dan “tidak matang dalam berpolitik”, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
“Kita selalu tidak percaya kepada orang muda tetapi mahukan sokongan mereka. Kita harus ada keyakinan terhadap orang muda. Saya memang penyokong kuat dan lantang bersuara dalam hal ini kerana menaruh kepercayaan terhadap golongan ini.
“Kita mengatakan mereka tidak bersedia namun tidak membuat apa-apa untuk mendidik mereka. Usia 18 tahun adalah ‘umur kematangan’ di bawah undang-undang… sudah boleh memandu, boleh mengikat kontrak dan jika melakukan jenayah tidak dihadapkan sebagai juvana,” kata beliau dipetik Bernama.
Sehubungan dengan itu beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menegaskan, beliau merupakan penyokong kuat kepada pelaksanaan undi 18 dan menyifatkan usia tersebut sebagai umur kematangan.
Saifuddin yang merupakan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata beliau telah memperjuangkan idea mendidik orang muda memilih sejak dahulu, termasuk pernah mengemukakan idea murid diajar memilih pengawas menerusi sistem pilihan raya, namun ia tidak dipersetujui ramai.
Beliau berharap pelaksanaan undi 18 boleh bermula pada pilihan raya umum akan datang dan yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia untuk menguruskannya, dan jika ada perkara yang mengekang pelaksanaannya, diharap ia dapat diselesaikan segera.
“Saya faham jika ada kekangan khusus seperti diberitahu ia (undi 18) perlu diluluskan dewan undangan negeri (DUN) untuk pindaan kerana turut melibatkan bertanding di DUN dan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Tapi saya yakin ini dapat diatasi sebaiknya apabila DUN kembali bersidang,” katanya.