Bekas TPM Musa gesa undang-undang antilompat parti digubal segera

7 MAC 2021: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menggesa supaya satu undang-undang antilompat parti digubal segera.

Dalam temu bual bersama Mingguan Malaysia, Musa yang pernah menganggotai Kabinet di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, Malaysia adalah antara negara terlampau banyak ahli politik melompat parti.

“Hingga ia jadi satu jenaka, kita gelarkan yang melompat itu sebagai katak. Ini istilah baharu. Orang bandar atau kampung, bila jumpa wakil rakyat yang lompat ini, mesti panggil dia katak.”

“Maknanya, yang aneh dalam isu melompat parti yang menjadi-jadi sekarang, pandangan saya bukan kerana politik atau ideologi,” kata bekas Menteri Dalam Negeri itu.

Sebaliknya, tambah beliau, tindak melompat parti terjadi disebabkan oleh “duit habuannya.”

“Kalaulah sesuatu itu boleh dianggap sebagai ideologi, dengan dapat duit itu ideologi wang, itulah yang mungkin sebenarnya sedang terjadi.

“Orang kata, sekarang ini duit habuannya bukan kecil-kecil macam zaman dulu. Kejadian sebegini akan lebih menjadi-jadi bila pilihan raya dah dekat. Oleh itu, saya gesa satu undang-undang antilompat digubal segera.”

Leave a Reply