4 APRIL 2021: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera melaksanakan peruntukan baharu berkaitan dengan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu perlu sebagai mengiktiraf peranan serta penglibatan golongan muda dalam politik.
“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU menegaskan bahawa parti mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan,” kata beliau dalam kenyataan susulan Mesyuarat MPT BERSATU yang diadakan semalam.
Pada 25 Mac lalu, SPR mengumumkan bahawa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.
Sementara itu, dalam kenyatannya hari ini, Hamzah memaklumkan bahawa BERSATU telah melantik 12 wakilnya yang diketuai oleh Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri bagi menganggotai Jawatankuasa Permesyuaratan BERSATU-PAS peringkat pusat untuk membincangkan strategi kedua-dua parti tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Dalam masa sama, BERSATU juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang,” kata beliau.
Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, MPT BERSATU mengulangi komitmennya untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional yang terdiri daripada PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan GERAKAN.
Selain itu, MPT memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutu di seluruh negara.