BERSIH 2.0 gesa pembangkang tubuh Kabinet Bayangan pantau kerajaan

5 MAC 2021: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mahu barisan pembangkang menubuhkan Kabinet Bayangan, di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri untuk bertindak sebagai mekanisme periksa dan imbang yang efektif.

“Kabinet Bayangan, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, akan memberikan persaingan politik yang sihat kepada kerajaan dengan setiap menteri persekutuan atau Exco negeri akan dibayangi oleh wakil pembangkang dengan dasar alternatif mereka sendiri,” kata BERSIH 2.0 dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pelancaran laporan bertajuk “Kerangka Kabinet Bayangan Di Malaysia”, semalam.

Menurut BERSIH 2.0, membentuk Kabinet Bayangan dengan sokongan seluas-luasnya daripada kalangan pembangkang di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mendorong kepada akses dan hak istimewa institusi.

“Menteri persekutuan bayangan atau Exco Negeri harus dipilih berdasarkan prestasi. Mereka harus mempunyai pengalaman dalam bidang mereka dilantik. Kabinet Bayangan juga harus mencerminkan kepelbagaian masyarakat yang diwakili mereka, dari segi parti politik, puak, etnik, jantina, umur dan wilayah,” kata BERSIH 2.0.

Kata badan itu, seorang menteri bayangan harus dilantik untuk memantau setiap kementerian dan Exco Kerajaan Negeri.

“Menteri bayangan harus menjadi jurucakap utama bagi isu dari sudut pembangkang. Kabinet Bayangan harus mengadakan mesyuarat berkala, sekurang-kurangnya setiap minggu, untuk membayangi Kabinet kerajaan yang sebenar,” kata badan itu lagi.

BERSIH 2.0 juga mahu Kabinet Bayangan mengeluarkan laporan atau maklumat terkini yang memberi gambaran politik merangkumi tinjauan aktiviti dan langkah-langkah yang diambil oleh pihak pembangkang.

“Pertimbangan mengenai perkara-perkara yang dibawa oleh Kerajaan dalam sesi Parlimen akan datang (misalnya rang undang-undang dan usul) dan tindak balas dan strategi pihak pembangkang, yang dipimpin oleh menteri bayangan yang berkaitan.”

Selain itu, BERSIH 2.0 mahu Kabinet Bayangan membincangkan perkara luar biasa mengenai dasar barisan pembangkang, yang dipimpin oleh menteri bayangan masing-masing, dan perkara-perkara yang barisan pembangkang akan bawa ke sidang Parlimen akan datang, termasuk usul dan pertanyaan yang dicadangkan.

Dalam kenyatannya, BERSIH 2.0 turut merujuk kepada Kabinet Bayangan yang ditubuhkan sebelum ini oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, dan Parti Keadilan Rakyat baru-baru ini sejak pemerintahan Perikatan Nasional.

LAPORAN PENUH BERSIH 2.0 MENGENAI SYOR KABINET BAYANGAN

Leave a Reply