Dewan Tertinggi BN pilih Zambry sebagai SUA Agung baharu

Zambry Abdul Kadir

9 JUN 2021: Dewan Tertinggi Barisan Nasional malam tadi telah memutuskan untuk melantik bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui kenyataan media malam ini, susulan mesyuarat secara maya, yang dihadiri kesemua empat parti komponen iaitu UMNO, MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik YB Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadir sebagai Setiausaha Agung yang baharu.

“Dewan Tertinggi BN juga sebulat suara bersetuju melantik YAB Datuk Seri Azlan Man (Menteri Besar Perlis) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan BN Perlis yang baharu,” katanya lagi.

Pada 5 Januari lepas, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu media beliau telah dipilih oleh Zahid sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu, menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, pada bulan Mac, beberapa pemimpin kanan BN terutamanya dari MCA dan MIC, mendakwa pelantikan itu tidak sah kerana ia perlu mendapatkan persetujuan bersama Dewan Tertinggi terlebih dahulu.

Laporan media sebelum ini menyebut Annuar digantikan selepas Ahli Parlimen Ketereh itu dilihat tidak sealiran dengan konsep dan gerak kerja politik yang dibawa oleh majoriti pemimpin dalam UMNO, termasuk Ahmad Zahid sendiri.

Leave a Reply