Dua MP tinggalkan PKR, sertai PN

Dua Ahli Parlimen bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menyerahkan surat menyokong Perikatan Nasional. Foto FB Perikatan Nasional.

28 FEBRUARI 2021: Dua Ahli Parlimen PKR memutuskan untuk keluar parti itu bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mereka terdiri daripada wakil rakyat kerusi Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien dan Steven Choong Shiau Yoon dari Tebrau, Johor.

Mereka menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN hari ini.

“Hari ini saya menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik COVID-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara,” kata Muhyiddin, yang juga presiden BERSATU.

Muhyiddin berkata, akuan bersumpah itu ditandatangani dan diserahkan kepadanya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.