Guan Eng: PH, Umno dan Bersatu takkan sokong gandingan Hisham-Azmin

16 JUN 2021: Di sebalik khabar angin politik mendakwa wujud usaha mendapatkan sokongan bagi menaikkan gandingan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan Datuk Seri Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, idea tersebut tidak akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Merujuk kepada laporan The Star pada 14 Jun, Guan Eng berkata, tidak ada mana-mana pihak boleh menerima gandingan tersebut.

“Baik Pakatan Harapan (PH) atau Umno mahupun Bersatu tidak akan menyokong pasukan Hishammuddin dan Azmin,” kata beliau menerusi kenyataan dikeluarkan semalam.

Khabar angin itu merupakan yang terbaharu ketika tumpuan beralih kepada Istana Negara ekoran pertemuan Yang di-Pertuan Agong bersama pemimpin parti-parti politik sejak minggu lalu.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk PKR membayangkan wujud gerakan mengumpul sokongan dalam kalangan ahli parlimen untuk mengetengahkan kedua-dua pemimpin terbabit.

Menurut khabar angin itu apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dari jawatannya Hishammuddin, yang juga bekas Naib Presiden UMNO, akan diangkat menjadi pengganti.

Azmin, bekas Timbalan Presiden PKR, yang kini menjadi seorang daripada menteri kanan Muhyiddin, pula akan dipilih sebagai timbalan perdana menteri.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan menambah, Azmin dilihat sebagai penggerak utama Langkah Sheraton yang menggulingkan PH walaupun gabungan itu diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan pada 2018.

Kata Guan Eng, khabar angin terbaharu yang disebarkan menunjukkan beliau kononnya mahu menjadi timbalan perdana menteri bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jika Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Semasa PH menjadi kerajaan, kata Guan Eng, beliau tidak pernah mengejar jawatan berkenaan sebaliknya berbangga sebab diberi peluang menjadi menteri kewangan.

“Jelas ini adalah usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan PN menangani krisis COVID-19, ekonomi dan politik dengan melemparkan umpan politik kepada golongan rasis dan ekstremis agama dalam PN,” kata beliau.

Leave a Reply