9 JUN 2021: Tiga wakil pemimpin parti politik daripada pembangkang selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.
Mereka terdiri daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjadi pemimpin pembangkang pertama yang tiba di Istana Negara sekitar pukul 10.37 pagi, lapor Astro Awani Online.
Sementara itu, Guan Eng pula dilihat memasuki Istana Negara sekitar pukul 1.57 tengah hari. Ia kemudian diikuti Mohamad pada pukul 3 petang.
Sesi sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong itu masing-masing dianggarkan berlangsung selama sejam.
Antara isu yang dipercayai dibangkitkan oleh wakil pembangkang adalah mengenai penamatan Proklamasi Darurat, pembukaan semula Parlimen, vaksinasi serta berkaitan COVID-19.
Beberapa siri pertemuan ketua politik dijadual berlangsung mulai hari ini sehingga Jumaat.
Parti yang masih dalam proses pendaftaran, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diwakili oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.