21 OGOS 2021: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kesembilan hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada pukul 2.29 petang.
Ahli Parlimen Bera itu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.
Sebelum ini, Ismail, 61, merupakan Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.
Pelantikan Ismail, individu pertama dilantik sebagai Perdana Menteri atas kapasiti sebagai Naib Presiden UMNO, diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu setelah mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen.