18 JUN 2021: Kerajaan Perikatan Nasional akan mengambil maklum akan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah seperti yang dinyatakan Istana Negara pada Rabu lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan pada Khamis, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri sudah menyembah maklum dan menasihati Agong mengenai pengurusan pandemik COVID-19 sebelum ini.
Selain itu menurut kenyataan tersebut, Agong juga disembah maklum mengenai penguatkuasaan Ordinan Darurat, pelaksanaan Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan serta hal-hal lain.
“Menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dibuat PMO hampir 24 jam selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan berhubung penzahiran pandangan Al-Sultan Abdullah mengenai perlunya parlimen bersidang secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah berpendapat sidang itu akan membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Untuk rekod selain Istana Negara, turut mengeluarkan kenyataan ialah Majlis Raja-Raja yang menegaskan tiada keperluan darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.
Majlis Raja-Raja juga menyatakan sokongan mereka kepada pendirian Agong yang menitahkan agar parlimen segera bersidang.
Turut disentuh dalam kenyataan berkenaan ialah pendirian raja-raja Melayu terhadap pentingnya wujud kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat.