Laporan interim ERC: 49 syor

ANTARA KOMPONEN DIKAJI ERC

  • Sistem pilihan raya yang baharu
  • Undang-undang pilihan raya yang menyeluruh berbanding akta-akta yang berbeza
  • SOP berkaitan perjalanan kerajaan sementara
  • Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai badan pengurusan pilihan raya yang lebih bebas
  • Penstrukuran semula  Suruhanjaya Pilihan Raya
  • Notis penetapan tarikh pembubaran Parlimen dan Dewan
  • Dua hari tempoh bertenang sebelum hari mengundi
  • Liputan media yang lebih adil dan seimbang
  • Peruntukan untuk mengundang kehadiran pemerhati pilihan raya
  • Undang-undang pembiayaan politik dan pilihan raya
  • Penamaan calon lebih fleksibel, tempoh lebih lama

Dr G Manimaran

Indeks Demokrasi 2019 yang dikeluarkan awal Februari lalu menunjukkan Malaysia mencatatkan skor dan kedudukan terbaik setakat ini iaitu berada di tangga ke-43 daripada sejumlah 167 negara. Laporan dikeluarkan Unit Perisikan Ekonomi (EIU) telah memberikan Malaysia skor atau markah 7.16 daripada jumlah maksimum 10. Malaysia mendapat markah antara 5.98 dan 6.88 sejak indeks itu dimulakan pada tahun 2006. Ia berada di tangga ke-52 tahun lalu dengan skor 6.88.

              Laporan itu menyebut bahawa Malaysia mencatakan peningkatan di sebalik kemerosotan kembali oleh rakan serantaunya. Indeks Demokrasi bertujuan mengukur keadaan demokrasi di dunia. Ia mengukur lima bidang, iaitu proses pemilihan dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan dalam politik, budaya politik dan kebebasan sivil. Terdapat banyak sebab yang membawa kepada peningkatan itu.

Membicarakan mengenai amalan demokrasi, satu komponen yang tidak dapat diketepikan adalah lapangan pilihan raya yang adil, telus dan seimbang.

              Pada 13 Januari lalu, susulan kajian yang mendalam selama setahun, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) telah mengemukakan laporan interim yang terdiri daripada 49 syor  kepada kerajaan bagi tujuan penambahbaikan sistem dan undang-undang. Syor-syor ini terkandung dalam laporan yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kajian ERC antara lain memfokus kepada 15 komponen kajian iaitu sistem pilihan raya, badan pengurusan, pendaftaran pengundi dan parti politik, kawalan kempen, pembiayaan politik dan kebebasan media. Selain itu, proses pilihan raya, kod etika, pemerhati, penguatkuasaan undang-undang, kerajaan sementara, kerjasama awam dan institusi serta pendidikan sivik dan pengundi.

Mengulas mengenai kandungan laporan interim yang diserahkan itu, Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman yakin lebih 30 syor boleh dilaksanakan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Ini kerana syor-syor terbabit hanya membabitkan pindaan kecil terhadap undang-undang pilihan raya dan Perlembagaan Persekutuan, manakala selebihnya memerlukan masa lebih panjang. “ERC mengemukakan 49 syor kepada kerajaan untuk diberi pertimbangan bagi peringkat permulaan ini. Kita memaklumkan apa yang boleh dilakukan segera dan dalam tempoh yang lebih panjang. Kami melihat lebih 30 perkara boleh dilaksanakan dalam jangka masa pendek, sebelum PRU-15 jika dipersetujui oleh kerajaan kerana tidak memerlukan pindaan peraturan yang banyak,” kata beliau yang yakin kerajaan yang serius untuk membawa pembaharuan institusi akan melaksanakan syor-syor yang dikemukakan ERC.

              “Ada perkara lebih besar, membabitkan sistem pilihan raya itu sendiri dan ini memerlukan pindaan banyak perkara, antaranya Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, kesesuaian iklim politik dan penerimaan orang ramai kepada sistem itu. Ini akan mengubah cara kerajaan dibentuk menerusi SPR,” kata mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

              Ab Rashid menjelaskan, antara syor yang mudah dilakukan termasuklah penstrukturan semula SPR kepada tiga entiti bebas iaitu suruhanjaya itu sebagai badan menguatkuasakan undang-undang pilihan raya, Pilihan Raya Malaysia, sebuah badan khusus untuk mengendalikan urusan pilihan raya manakala Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) akan memfokus kepada urusan persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya.

              “SPR masih wujud, tetapi dalam bentuk yang berbeza. Pertama, SPR sebagai badan induk tidak lagi menjalankan pilihan raya, sebaliknya akan menguatkuasakan undang-undang pilihan raya. SPR akan membuat dasar dan menguatkuasakan undang-undang itu,” katanya.

              Ab Rashid berkata tiga badan yang disyorkan itu akan membolehkan pilihan raya dikendalikan dengan lebih berkesan, telus dan adil. “Tiada lagi masalah di mana SPR dituduh tidak adil, banyak menyebelahi parti pemerintah dan sebagainya. Ini boleh dilaksanakan segera dengan perubahan undang-undang,” kata beliau sambil menambah syor-syor ini akan mengukuhkan keyakinan rakyat dan pemegang taruh ke atas proses perjalanan pilihan raya. “Kita hendak melihat pembaharuan menyeluruh, memasyarakatkan sistem pilihan raya,” ujar beliau.

              Syor-syor itu kata beliau, adalah hasil kajian ke atas amalan di beberapa negara maju seperti New Zealand, Australia, Kanada, United Kingdom dan Jerman. “Kita akan melawat beberapa negara Asia Tenggara seperti Indonesia dan Filipina. Kita boleh ambil contoh yang baik. Misalnya memecahkan entiti SPR (kepada tiga), itu kita ambil contoh daripada Kanada. Selain itu, kita melihat permintaan dari bawah dan ternyata libat urus yang kita jalankan mendapat maklum balas yang amat baik.”

              Selain itu SPR akan diberi kuasa dalam urusan pendaftaran parti politik dan audit dana perbelanjaan pilihan raya supaya tidak berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa. Amalan sekarang pendaftaran politik dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Jawatankuasa khas yang terdiri darioada 18 ahli ini turut mengesyorkan agar tanggungjawab pendaftaran parti politik diberikan kepada SPR, bukannya Pendaftar Pertubuhan (RoS).  Ini sama seperti dilaksanakan di negara maju di mana pendaftaran parti politik diletakkan di bawah pengurusan pilihan raya, justeru SPR boleh mengawal pergerakan parti politik dengan lebih dekat. ERC juga membuat syor supaya perbelanjaan politik dan pilihan raya dikawal selia melalui satu bentuk undang-undang. Kerajaan sudah pun mengambil langkah ke arah penggubalan undang-undang ini, dijangka dibawa ke Parlimen tahun ini. Tahun lalu, Parlimen telah meluluskan rakyat Malaysia berumur 18 tahun boleh mengundi dan menjadi calon. “Jadi, mesti ada pihak yang mengaudit dan ini tugas SPR yang baharu nanti. Kita juga mencadangkan sesiapa yang mahu memberi sumbangan atau derma politik mesti memperkenalkan diri mereka dan diumumkan, tidak boleh senyap-senyap. Jika ada pihak yang bagi RM1 juta, ia mesti dimasukkan ke dalam akaun untuk bukti transaksi. Nama penyumbang mesti ada dan pada akhir tahun, ia mesti diaudit di mana parti perlu menyenaraikan apa yang mereka lakukan dengan wang yang diperoleh.”

              Selain itu, ERC juga mengesyorkan supaya kerajaan memberi sumbangan kepada parti politik. Mungkin ini akan memakan masa untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar.

              Laporan interim juga mengesyorkan perubahan dalam sistem pilihan raya iaitu sistem ‘first-past-the-post (FPTP) bagi pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala perwakilan berkadar (berdasarkan undi popular) bagi kerusi Parlimen. Bersandarkan kepada Sistem FPTP  pengundi memilih calon pilihan mereka manakala perwakilan berkadar memerlukan pengundi memilih parti.  Maka, parti yang popular akan mendapat kerusi terbanyak di Dewan Rakyat. Pembahagian kerusi berdasarkan kepada undi diterima olehs sesebuah parti. “Jika kita ketengahkan perkara ini, ia memerlukan banyak perubahan dan yang lebih penting, penerimaan umum. Ada sesetengah orang yang tidak boleh menerimanya, mereka mahukan calon secara langsung. Justeru, dua sistem pilihan raya ini memerlukan pertimbangan jangka masa panjang,” jelas pengerusi ERC.

              Mengenai akses kepada media dan peranan pengamal media semasa pilihan raya, ERC mencadangkan agar undang-undang berkaitan digubal bagi menjamin liputan media adalah adil kepada semua pihak ketika pilihan raya. Undang-undang ini juga akan memastikan wartawan dilayan dengan adil oleh semua pihak terutama calon dan parti semasa pilihan raya. “Kita mahu media berlaku  adil dalam membuat liputan supaya masyarakat faham mengenai perjuangan dan kedudukan semua parti dan calon. Akhirnya, rakyat tahu menilai dan fikirkan siapa yang sesuai untuk dipilih, bukan hanya bagi wakil rakyat, tetapi parti yang menubuhkan kerajaan. Media mesti memainkan peranan untuk siarkan berita bagi semua pihak, bukan apa yang dimahukan majikan saja. Banyak negara demokrasi telah memasukkan aspek ini dalam undang-undang pilihan raya mereka.

              “Kita mahu mewujudkan undang-undang supaya SPR ada kuasa mengawas dan boleh memantau,” kata Ab Rashid tetapi memberi jaminan kebebasan media tetap dipelihara. “Kita nak cadangkan media supaya lebih seimbang dan adil untuk semua pihak. Itu demokrasi yang kita mahu capai. Media ada peranan dalam menjamin kelangsungan pilihan raya yang adil.” Bagi tujuan itu, ERC juga telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Sebagai contoh, apabila tempoh berkempen sudah tamat, ia juga tidak boleh dilakukan menerusi media sosial. Banyak negara melakukan kawalan seperti ini, contohnya Filipina yang mempunyai Akta Pilihan Raya Adil, yang mencakupi setiap aspek dalam peraturannya dan hanya dipakai pada musim pilihan raya saja. Keperluan ini selaras dengan syor tempoh bertenang selama dua hari yang hendak diperkenalkan di bawah pembaharuan kali ini. Media juga akan dilarang dari menyiarkan hasil tinjauan umum semasa hari pengundian.

              Satu lagi syor penting adalah berkaitan dengan garis panduan pengendalian kerajaan sementara sebaik Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan. ERC mengesyorkan supaya diadakan satu konvensyen bertulis atau manual Kabinet bagi kerajaan sementara, bukan hanya mengikut konvensyen atau ‘adat’ yang ada sebelum ini. “Orang tidak mahu ikut. Peraturan bertulis ini nanti akan dipersetujui semua sama ada kerajaan atau pembangkang. Sebagai contoh, kerajaan sementara tidak boleh membuat dasar semasa pilihan raya, yang membabitkan perbelanjaan dan tidak boleh umum projek baharu. Pegawai kerajaan juga tertakluk kepada peraturan dan mereka hanya boleh melakukan tugas hakiki, bukan membantu kempen.”

              ERC juga mengesyorkan supaya tempoh kempen diberikan lebih lama dengan tempoh bertenang selama dua hari. Ketika ini, selepas tamat saja kempen pada jam 12 tengah malam, pengundian terus dijalankan keesokan hari. Sesetengah negara mengamalkan tempoh bertenang tiga hari dan sebagainya. Ia penting untuk pengundi berasa tenang sebelum keluar mengundi.

              Selain itu, badan pengurusan pilihan raya disyor memperbanyakkan tempat mengundi bagi mengurangkan masa menunggu dan menyediakan kemudahan atau kaedah lain yang fleksibel kepada pengundi mengundi. ERC hendak memastikan setiap rakyat disediakan kemudahan untuk mengundi. Setiap undi ada nilainya. “Semua pengundi juga diberi kemudahan untuk mengundi dan ini akan dilakukan melalui pengundian khas. Sebagai contoh, mereka yang mendaftar di Sabah boleh mengundi di Semenanjung, jika di hospital dan penjara, mereka boleh mengundi di situ. Kita juga mengesyorkan supaya undi pos dipermudahkan dengan melantik pegawai pengurus pilihan raya dalam kalangan pegawai kedutaan. Mereka akan terbabit dalam pengiraan undi dan hanya akan menghantar balik keputusan. Ini akan mengelakkan masalah kertas undi tidak sampai,” kata beliau lagi.

              Dari segi penamaan calon, selain boleh dilakukan di pusat penamaan calon, ERC mengesyorkan supaya ia dilakukan secara dalam talian dan tempoh penamaan calon dipanjangkan. “Kami mencadangkan hari penamaan calon selama lima hari.”

Ab Rashid berkata, ERC tidak akan ambil seratus peratus apa yang negara lain buat. “Kita akan ikut acuan kita. Tunggu saja cadangan (laporan penuh) yang akan kita kemukakan nanti. Kami sedang wujudkan keadaan di mana terdapatnya keadilan (dalam semua aspek).”

ERC telah ditubuhkan oleh kerajaan pada Ogos 2018 bagi mengkaji sistem dan undang-undang pilihan raya sedia ada. Tugas utama ERC adalah mengemukakan cadangan dan syor bagi memastikan pilihan raya di Malaysia dilaksanakan dengan sempurna, mengikut standard yang dicapai oleh negara-negara demokrasi yang maju dan bagi mendapatkan kepercayaan awam sepenuhnya.

              Sehubungan itu, ERC telah menjalankan kajian yang intensif sejak ditubuhkan,  dengan berfokuskan kepada 15 komponen kajian yang spesifik berlandaskan kepada objektif untuk mencapai tahap demokrasi pilihan raya sempurna. Bagi mendapatkan syor dan pandangan umum sebanyak 21 sesi libat urus telah diadakan di seluruh negara. ERC juga ada menerima pandangan dan input dalam bentuk memorandum secara bertulis daripada pelbagai pihak. ERC mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang telah diperlihatkan oleh semua pihak berkepentingan, termasuk parti-parti politik.

              Sebagai langkah susulan, ERC akan mengambil tindakan seterusnya bagi menyediakan satu laporan penuh yang akan dikemukakan kepada kerajaan selewat-lewatnya bulan Ogos ini.

              Selepas enam dekad, negara sedang mengkaji untuk membawa penambahbaikan menyeluruh ke atas sistem dan undang-undang. Apabila dilaksanakan ia akan membawa wajah baharu dalam gelanggang persaingan. Adil untuk semua.

Leave a Reply