2 APRIL 2021: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap rakan politik mereka dalam Muafakat Nasional (MN) memikirkan sebaik-baiknya mengenai usaha mempertahankan gagasan muafakat yang asli.
Beliau turut mengambil contoh Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang gagal kerana gabungan politik yang dibentuk tidak jujur dan tulen.
“Justeru, saya berharap rakan politik UMNO dalam MN berfikirlah sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan MN yang asli.
“Memandangkan MN melibatkan rakan politik lain, maka tidak wajar saya menulis lebih daripada apa yang saya nyatakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) tempoh hari.
“Cuma apa saya boleh sentuh sedikit secara terbuka di sini adalah UMNO serius dalam memperkukuhkan MN yang ditubuhkan pada tahun 2019,” kata beliau menerusi kenyataan dalam Facebooknya semalam.
Kelmarin, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
BERSATU dan PAS menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15 terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.
Dalam kenyataannya, Zahid mengingatkan PAS bahawa penyatuan ummah yang berlaku di bawah gagasan MN bukan sesuatu yang mudah.
“Namun syukur alhamdulillah, pemeteraian Piagam MN yang tulen berlangsung di Dewan Merdeka iaitu dewan utama WTCKL pada 14 September 2019.
“Pelbagai kejayaan dilakar MN sejak itu. Kemenangan banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) dan bersama memperjuangkan kepentingan rakyat,” kata beliau.
Menurut Zahid, momentum keyakinan rakyat pelbagai bangsa dan agama sangat positif terhadap apa yang boleh ditawarkan oleh MN yang sebenar.
“Mereka percaya kepada MN yang itu, bukan yang ini. Kerana sinergi yang terbentuk antara UMNO dan rakan partinya dalam sebuah gabungan penuh tulus ikhlas,” kata Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).