10 JUN 2021: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertanya kepadanya mengenai waktu yang sesuai bagi negara mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kata Dr Mahathir, beliau memaklumkan Yang di-Pertuan Agong bahawa pilihan raya tidak wajar dilakukan dalam tempoh terdekat kerana bimbang kemungkinan peningkatan mendadak kes COVID-19 seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.
“Tiada indikasi mengenai darurat walaupun baginda ada bertanya sama ada PRU15 boleh diadakan tahun depan atau bila-bila masa.
“Saya mengatakan bahawa adalah bahaya jika pilihan raya kerana kita telah lihat apa yang berlaku di Sabah. Jika pilihan raya diadakan, maka kes COVID-19 akan meningkat mendadak sekali lagi, jadi itu yang saya beritahu baginda,” katanya dalam sidang media secara talian pada Khamis.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, masa terbaik untuk mengadakan PRU-15 adalah apabila negara telah mecapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.
Hari ini, Dr Mahathir dan tiga lagi ketua parti politik telah mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.
Dalam pertemuan yang berlangsung lebih kurang sejam itu, Dr Mahathir turut berkata beliau telah mencadangkan berhubung penubuhan kerajaan atau kuasa baharu sama seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang pernah ditubuhkan pada tahun 1969.
“Agong tidak kata tidak, tetapi titah baginda, cadangan pembentukan Mageran harus datang daripada pihak kerajaan.
“Tetapi saya ragu kerajaan akan cadangkan perkara ini,” kata beliau.