Muhyiddin: ‘Tiada parti dominan, itu politik lama’

3 MAC 2021: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada mana-mana pihak boleh mendakwa parti mereka paling dominan dan lebih berhak untuk memegang tampuk kuasa dengan memperkecilkan peranan parti lain.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memberitahu, dalam era politik baharu ini, semua parti mempunyai peranan dan sumbangan yang sama penting untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara.

“Itu politik lama. Kita sudah memasuki era baharu dalam politik negara. Kerana itu, kita perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan kepada persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik untuk memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara.

“Dalam apa saja hala tuju politik yang diambil oleh parti politik, pertimbangan utamanya mestilah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan individu atau kelompok kecil,” kata beliau.

Beliau mengatakan demikian ketika menyampaikan ucapan khas secara maya sempena Perhimpunan Agung MIC di Klang pada 3 Mac.

Muhyiddin berkata, apa saja perkara baik untuk rakyat dan negara, itulah yang sepatutnya menjadi prinsip panduan kepada mana-mana organisasi politik, termasuk MIC, dalam menentukan hala tuju parti pada masa hadapan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MIC yang terus memberikan sokongan kepada kerajaan PN. Ini satu tindakan rasional kerana dengan sokongan MIC, kerajaan PN dapat terus berfungsi dengan baik dalam mentadbir negara dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam waktu sukar ini.

“Saya berharap sokongan MIC kepada PN, bukan saja pada masa ini, tetapi juga akan datang. Saya percaya sekiranya kita berada pada landasan sama, dalam saf sama, kita akan dapat bersama-sama menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara yang pastinya akan memberikan manfaat besar kepada semua rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.

Kata Muhyiddin, kestabilan politik perlu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan mengurus negara dengan cekap dan berkesan ketika semua sedang berhadapan dengan suatu krisis yang dikatakan sebagai ‘unprecedented’ atau tidak pernah berlaku sebelum ini, iaitu pandemik COVID-19.

Katanya, tumpuan pada masa ini ialah untuk memerangi COVID-19, memastikan rakyat mendapat suntikan vaksin dan memulihkan ekonomi negara serta tidak boleh diganggu-gugat oleh perkara lain yang menyebabkan politik tidak stabil, negara terumbang-ambing dan kebajikan rakyat terabai.

“Saya fikir pimpinan MIC faham akan situasi yang dihadapi oleh negara dan rakyat pada masa ini dan oleh sebab itu terus memberikan sokongan kepada kerajaan PN untuk mengurus negara dan membantu rakyat.

“Ini adalah satu pendirian yang tepat dan rasional. Saya percaya masyarakat India di negara ini dapat menilai pendirian MIC dengan sebaiknya dan menyokong pendirian ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebagai sumbangan paling besar yang boleh dilakukan oleh MIC ialah dengan mengutamakan politik perpaduan demi khidmat kepada rakyat, bukan politik berpecah-belah demi kepentingan sempit.

Leave a Reply