11 JUN 2021: Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) diwujudkan bagi menyelesaikan masalah dihadapi negara, kesan penularan COVID-19.
Perkara itu dimaklumkan tiga pemimpin kanan PH, iaitu Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.
PH menolak cadangan Dr Mahathir berdasarkan pendirian tegas mahu darurat ketika ini ditamatkan segera dan Parlimen kembali bersidang, berbanding menyerahkan pentadbiran negara kepada MAGERAN.
Kata PH, Majlis Presiden mengambil maklum cadangan Dr Mahathir untuk mewujudkan sebuah MAGERAN untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara pada waktu ini, terutama berkait COVID-19.
“Bagaimanapun, sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, PH menolak cadangan MAGERAN ini berdasarkan pendirian konsisten kami bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.
“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu COVID-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” kata kenyataan itu.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti MAGERAN ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Beliau yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yakin MAGERAN mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara kesan penularan pandemik COVID-19.
Dr Mahathir turut menawarkan dirinya untuk mengetuai MAGERAN, namun beliau dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Agong bahawa penubuhan MAGERAN hanya boleh dilakukan jika ia diusulkan kerajaan.