5 MAC 2021: PAS memandang serius isu kerjasama semua parti politik Melayu yang disifatkannya sebagai penting dalam konteks masa depan politik negara, tegas Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
Kata beliau, parti itu menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah penjajaran baharu melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya.
“PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu-peribumi UMNO, BERSATU dan PAS, bersama rakan-rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali,” kata beliau hari ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Takiyuddin berkata, PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan serta diharmonikan oleh pimpinan parti demi agenda kepentingan negara.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan ada menghantar surat mengatakan jalinan kerjasama dengan Bersatu akan berakhir sebaik sahaja pilihan raya umum (PRU) ke-15 bermula. Perkara itu turut disahkan oleh BERSATU dan UMNO menerusi kenyataan dikeluarkan semalam.
Dalam surat itu, beliau menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN boleh diteruskan hanya setakat pembubaran parlimen.
Ekoran daripada itu BERSATU engadakan mesyuarat majlis pimpinan tertingginya (MPT) di Putrajaya semalam, antara lain bagi membincangkan mengenai hubungan parti itu dengan UMNO.
Takiyuddin juga berkata, PAS juga akan meneruskan agenda memperkukuh “perpaduan ummah” yang menjadi asas kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional.
Menurut beliau, PAS akan mempertahan PN di semua peringkat dan menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan yang terjalin.