Pembangkang, UMNO tolak tawaran Muhyiddin, didakwa belakangi Agong

14 OGOS 201: Pembangkang dan UMNO menolak tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menegaskan, dakwaan beliau bahawa tiada mana-mana Ahli Parlimen yang dapat membuktikan ada sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat telah membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, Perdana Menteri dengan jelas membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku ketua utama negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a).

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Perkara 43 (2)(a) itu merujuk kepada kuasa Agong untuk melaksanakan pertimbangan budi bicara baginda bagi melantik seorang ahli parlimen sebagai perdana menteri yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Semalam, Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa beliau tidak akan berundur dari jawatannya sebagai perdana menteri walaupun jumlah sokongan ahli parlimen terhadapnya dipertikaikan.

Kata Muhyididn, ketika ini tiada mana-mana ahli parlimen yang dapat membuktikan dia memiliki sokongan majoriti untuk dilantik menjadi perdana menteri.

Majlis Presiden PH juga mendakwa Muhyiddin juga menjadi perdana menteri pertama dalam sejarah yang menawarkan “rasuah secara terang-terangan” melalui siaran secara langsung di televisyen.

Tawaran itu, kata mereka, dibuat di hadapan seluruh rakyat Malaysia.

Antara tawaran ‘pembaharuan’ disebut Muhyiddin ialah menggubal perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan seseorang perdana menteri menjadi dua penggal saja, melaksanakan Undi 18 dan mengangkat taraf ketua pembangkang parlimen seperti menteri kanan.

Muhyiddin juga menjanjikan peruntukan yang sama kepada ahli parlimen pembangkang – sama seperti apa dinikmati ahli parlimen kerajaan – jika mereka menyokong usul percaya yang akan dibawa ke sidang parlimen tidak lama lagi.

Menurut Majlis Presiden PH, dengan pengakuan terbuka bahawa Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti di parlimen, dia wajib meletak jawatan seperti terkandung dalam Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh yang demikian, PH mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Muhyiddin yang sepatutnya dibuat lebih awal, bukannya di penghujung hayat politik beliau.

Ulasan PEJUANG, MUDA, dan UMNO

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PEJUANG, Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya tidak akan menerima apa juga tawaran.

“Yang penting bagi kami ialah dia itu perdana menteri yang tidak mempunyai majoriti. Dia tak perlu buktikan majoriti. Dia memang dah sah tak ada majoriti.

“Dia kena melepaskan jawatan sebagai perdana menteri. Dan bukan (hak) dia untuk buat andaian sama ada pihak pembangkang ada majoriti atau tidak untuk melantik perdana menteri yang baru,” kata beliau.

Sementara itu, Umno pula mengingatkan Muhyiddin kepada sumpah jawatan yang diucapkannya sebelum ini, iaitu memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muhyiddin tidak wajar ‘merampas’ kuasa Agong dalam menentukan urusan pelantikan perdana menteri.

“Justeru UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya,” kata beliau.

Pada masa sama Zahid menasihatkan rakyat agar bertenang sehingga Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab baginda mengikut perlembagaan bagi melantik perdana menteri baru.

“Umno juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 15 ahli parlimen Umno yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela institusi raja dan perlembagaan negara,” katanya.

Pengerusi Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, apabila kuasa dan jawatan sudah di hujung tanduk, baharu hendak mencari pembangkang ajak duduk semeja.

“Pengumuman khas perdana menteri penuh dengan hipokrasi dan helah. Semuanya dibuat untuk tinggal sehari lebih lama dari hak yang sudah terlucut dengan kehilangan sokongan majoriti Dewan Rakyat.

“Waktu nak hilang kuasa, barulah terfikir nak beri peruntukan tahunan yang sama kepada ahli parlimen pembangkang. Hampir dua tahun pembangkang tidak terima peruntukan sama daripada kerajaan PN.

“Lupakah perdana menteri apabila pembangkang merayu untuk peruntukan parlimen diberikan secara adil dan saksama, hingga sanggup tawar macam-macam hanya untuk kekalkan kuasa yang sudah terlucut hilang?” kata beliau sambil menambah, “masa untuk Muhyiddin berundur secara terhormat.”

Leave a Reply