9 JUN 2021: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun ini, antara lain akan menyentuk pandemik COVID-19 dan pelaksanaan darurat.
Dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin hari ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan menganjurkan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, di ibu negara.
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh Baginda berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.
“Perbincangan khas ini adalah kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari, 2019,” demikian menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara hari ini.
Jelas Ahmad Fadil, kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dianjurkan adalah pada 25 Oktober 2020 di Istana Negara.
Pada 12 Januari lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik COVID-19.