9 MAC 2021: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau menafikan spekulasi beliau merupakan antara Ahli Parlimen dari Sabah yang dikatakan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Tuaran itu menyifatkan berita mengenainya yang disiarkan sebuah portal sebagai satu fitnah.
“Saya sekeras-kerasnya menafikan dakwaan yang mengatakan saya akan menyertai PN. Saya mahu pihak yang berkenaan berhenti menyebarkan fitnah ini,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu tegas Madius, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ia tidak dihentikan.
“Saya berharap penjelasan saya ini dapat menjernihkan keadaan,” kata pemimpin Sabah itu menerusi kenyataan dikeluarka melalui laman Facebook beliau semalam.
Madius berkata spekulasi itu sengaja disebarkan semata-mata untuk mewujudkan keadaan tidak stabil dalam kalangan parti pembangkang.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Tuaran atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi bertindak membawa UPKO keluar BN untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).