Sah UMNO utus surat putus kerjasama dengan BERSATU

4 MAC 2021: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesahkan ada menerima surat daripada UMNO berhubung pendiriannya menolak kerjasama dengan BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu akan ditentukan dalam mesyuarat tertinggi BERSATU petang ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat Biro Politik BERSATU semalam telah membincangkan mengenai surat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bertarikh 26 Februari lalu bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan pendirian itu dalam mesyuaratnya di Janda Baik, Pahang, 19 Februari lalu.

Hamzah berkata, Biro Politik juga mengambil maklum keputusan MKT UMNO bahawa kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

“Sehubungan itu, Biro politik mengambil ketetapan bahawa pendirian BERSATU akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, petang ini. Pendirian itu juga bakal dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang bersama parti komponen lain, iaitu PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan GERAKAN,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Source 1: KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG BERSATU

Source 2: SURAT PRESIDEN UMNO KEPADA PRESIDEN BERSATU