14 JUN 2021: PAS senada dengan saranan UMNO untuk tidak mendesak kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan itu amat tepat dan kena pada masanya kerana fokus seluruh jentera kerajaan Persekutuan serta negeri-negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik COVID-19, yang belum reda bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini, bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam yang berkata, parti itu tidak perlu mendesak kerajaan Perikatan Nasional untuk mengadakan Pilihan PRU15 dalam waktu terdekat, kerana ia hanya akan menyukarkan usaha kerajaan memerangi penularan pandemik COVID-19.