19 JUN 2021: Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berpendapat bahawa Ordinan Darurat 2021 memberi Yang di-Pertuan Agong kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang.
Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, memetik Seksyen 14 (1) (b) ordinan itu yang menyatakan: “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.
“Kuasa ini diturunkan terus kepada baginda. Penurunan kuasa selesai,” kata beliau menerusi ciapan Twitter .
Pada Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong tidak menyatakan tarikh tertentu untuk Parlimen bersidang semula, tetapi mengatakan ia harus dilakukan “sesegera mungkin”.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan dikeluarkan pada keesokan hari mengatakan bahawa pihaknya mengambil maklum terhadap pandangan Agong itu dan berjanji akan bertindak sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Agong bertindak atas nasihat kerajaan.
Sementara itu, Malaysiakini memetik peguam New Sin Yew, berpendapat bahawa ini juga berlaku untuk kuasa darurat, yang bermaksud bahawa Agong masih harus menunggu nasihat kerajaan sebelum memanggil Parlimen bersidang.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Agonf tidak boleh bertindak atas kehendaknya sendiri.
“Peraturan darurat mesti dibaca dengan Artikel 40 (1) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.
Sementara itu, peraturan mesyuarat parlimen juga memberikan kuasa kepada perdana menteri sebagai ketua Dewan, untuk menetapkan tarikh Parlimen harus bersidang kembali dengan pemberitahuan awal 28 hari sebelumnya.
Garis waktu bulan September untuk pembukaan semula Parlimen didasarkan pada kenyataan Muhyiddin bahawa Dewan Rakyat akan bersidang setelah negara mencapai Fasa Tiga dari pelan pemulihan Covid-19.
Malaysia akan memasuki Fasa Tiga apabila mempunyai kurang daripada 2,000 kes Covid-19 harian, kapasiti Unit Rawatan Rapi pada tahap sederhana, dan dengan 40 peratus populasi sudah diberi vaksin lengkap.
Kerajaan menganggarkan bahawa sasaran tersebut akan tercapai pada bulan September.