2 MEI 2021: Kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan Undi 18 dalam masa terdekat pada tahun ini.
Mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan menjangkakan ia dapat dilaksanakan Julai ini sekali gus akan membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun mengundi pada PRU15.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi jangka masa yang tepat tetapi yang pasti dalam tahun ini juga. Kalau boleh buat Julai ini, kita akan buat,” katanya dipetik BERNAMA.
Menurut beliau, kerajaan menyokong dan amat komited memastikan usaha meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan iaitu menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dapat dilaksanakan.
“Itu memang menjadi hasrat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, untuk kerajaan memberikan hak kepada rakyat kita yang berumur 18 tahun mengundi dan menentukan kepimpinan negara kita,” katanya.
Menyentuh soal mengapa Undi 18 perlu mengambil masa sebelum dilaksanakan, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bahru memberitahu bahawa banyak perkara perlu diambil kira khususnya aspek perundangan.
“Apabila ada perubahan daripada segi polisi misalnya daripada umur 21 kepada 18 tahun ini, ada perundangan tertentu yang perlu dipinda dan ditambah baik kerana di bawah pilihan raya itu ada banyak undang-undang antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta Pilihan Raya serta ada peraturan-peraturan mengenai perjalanan pilihan raya dan sebagainya.
“Namun, SPR akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu berkaitan perundangan ini. Keduanya pula, isu teknikal juga perlu diambil tindakan oleh kerajaan terutamanya oleh SPR kerana apabila dibuka (undi 18 tahun) maka bilangan (pengundi) akan bertambah sekali gus perlu tambah baik perisian dan sebagainya,” kata beliau.