11 MAC 2021: Dalam pertemuan yang dinanti banyak pihak, UMNO dan PAS malam tadi menyatakan pendirian untuk terus memperkukuhkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional yang dibentuk dua tahun lalu.
“Muafakat Nasional malam ini (Rabu) telah mengadakan mesyuarat bulanan seperti biasa mengikut jadual. Mesyuarat bersetuju untuk terus memperkukuh Muafakat Nasional,” kata kenyataan yang dikeluarkan di akhir mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional, yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.
Mesyuarat kali ini mendapat perhatian meluas kerana ini kali pertama sejak UMNO memutuskan untuk tidak bekerja dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Terdahulu sebelum mesyuarat itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO dan PAS perlu mencapai kata muafakat bagi memastikan tidak ada pertembungan antara dua parti Melayu Islam terbesar itu sewaktu PRU akan datang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu, perkara itu antara yang diharapkan kedua-dua pimpinan bagi memastikan hubungan yang terjalin sejak pemeteraian Piagam Muafakat Nasional perlu diteruskan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pertembungan antara UMNO dan BERSATU akan dirungkaikan kemudian.
“Antara UMNO dan Pas kita harap tidak akan ada pertembungan. Tetapi antara UMNO dan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) itu kita keep in view dahulu.
“Setakat ini memanglah kita tidak ada hubungan dengan PPBM … jadi ia adalah dua perkara boleh kita rungkaikan kemudian. Yang penting antara UMNO dan Pas itu terlebih dahulu (dipersetujui) tidak ada pertembungan,” kata beliau.
Dalam pada itu, mesyuarat Muafakat Nasional itu turut menzahirkan keprihatinan yang amat serius berhubung keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang-orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.
“Mesyuarat juga menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman ini ke Mahkamah Rayuan.”