UMNO putuskan sokongan kepada PN, mahu Muhyiddin letak jawatan

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membacakan kenyataan media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi.

3 OGOS 2021: UMNO, salah satu parti yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN), memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan menarik balik sokongan 16 bulan yang diberikan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

UMNO memutuskan pendirian terbaharu ini beberapa jam susulan kenyataan media Muhyiddin bahawa pembatalan proklamasi darurat akan dibahaskan oleh Parlimen pada bulan September.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Zahid berkata, Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

“Kenyataan terbaharu Perdana Menteri hari ini, kata Ahmad Zahid, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong.

“Malah (ia) mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau pada sidang media di Kuala Lumpur selepas mempengeruikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Zahid menambah, bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Agong, MKT UMNO sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Katanya, surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada Agong, sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.

Zahid juga berkata, beliau akan mempersembahkan baki surat akuan bersumpah Ahli-ahli Parlimen UMNO kepada Agong dalam masa terdekat.

Antara pemimpin UMNO yang menyertai sidang media itu ialah Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang; Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak (Ahli Parlimen Pekan); Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (Ahli Parlimen Pontian) dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said (Ahli Parlimen Pengerang).

Leave a Reply