Oleh Amerul Muner Mohammad
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang terunggul di dalam sistem demokrasi berpelembagaan yang diamalkan oleh Malaysia sejak merdeka. Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada Mac 1956 setelah mengambil kira pandangan semua pihak di Malaya ketika itu; telah menyediakan deraf perlembagaan yang kemudian diperhalusi oleh Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan, wakil British dan lain-lain pihak yang berkaitan dan diterimapakai selepas merdeka pada Ogos 1957. Perlembagaan Persekutuan terbentuk apabila Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia manakala Singapura menjadi sebuah wilayah tersendiri pada 1963.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan adalah sebuah dokumen ulung yang memberi garis panduan kepada setiap rakyat negara ini, namun pindaan telah dilakukan dari masa ke semasa bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia. Setiap pindaan yang dilakukan harus melalui proses yang telah dipersetujui mengikut undang-undang dan peraturan bagi memastikan hasrat pindaan tersebut dapat dicapai sepenuhnya.
Pindaan hanya akan berlaku dengan persetujuan dua pertiga daripada 222 orang (148) ahli Dewan Rakyat, diikuti oleh ahli Dewan Negara dan mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong serta diwarta untuk makluman semua rakyat.
Sejarah tercatat pada 16 Julai 2019 apabila Rang Undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan sebulat suara di Parlimen untuk meminda Perkara 47, Perkara 119 Fasal 1 (a) dan (b), Fasal 4(b) dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Pindaan-pindaan ini adalah untuk menurunkan had umur mengundi dan kelayakan menjadi calon pilihan raya, dari 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran secara automatik bagi pengundi dilakukan.
Pindaan-pindaan ini menjadikan pilihan raya di Malaysia lebih demokratik dengan memberi hak yang lebih luas kepada hampir lima juta rakyat, termasuk anak muda dan dewasa yang masih belum mendaftar untuk menjadi pengundi di dalam pilihan raya yang akan datang. Pindaan tersebut bukannya datang melayang tetapi di atas usaha dan persetujuan semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
Dengan perubahan yang begitu besar adalah logik bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara memerlukan masa untuk melaksanakan undang-undang baharu tersebut. Pelbagai undang-undang dan peraturan lain juga perlu dipinda termasuk undang-undang tubuh bagi setiap negeri di negara ini.
Setiap anak muda meyambut baik langkah penambahbaik pilihan raya tersebut dan menyanjung tinggi jaminan yang diberikan oleh SPR bahawa Undi18 akan dilaksanakan sekitar Julai 2021. Namun harapan tersebut terpaksa dipendamkan oleh anak muda kerana SPR kini menyatakan bahawa mereka hanya akan bersedia untuk melaksanakan Undi18 selepas 1 September 2022. Sekali lagi pandemik COVID-19 dipersalahkan kerana mengakibatkan langkah-langkah persediaan oleh SPR untuk pendaftaran pengundi secara automatik dan Undi18, terganggu.
Sebelum pengumuman tersebut dikeluarkan oleh SPR, terdapat beberapa pendapat termasuk daripada ahli Parlimen dan pemimpin-pemimpin politik yang mempertikaikan kesesuaian Undi18 dengan ungkapan-ungkapan yang mempersoalkan kematangan anak muda untuk membuat keputusan di dalam pilihan raya yang boleh memberi kesan yang besar kepada negara. Anak muda zaman ini tidak boleh disamakan dengan zaman muda pemimpin-pemimpin politik tersebut.
Segala maklumat berada di hujung jari mereka dan dengan sistem pendidikan yang diberikan melalui usaha pemimpin-pemimpin tersebut, kita perlu yakin bahawa anak muda kini lebih matang berbanding 50 tahun dahulu. Adalah tidak munasabah untuk ahli-ahli Parlimen mempertikaikan keputusan mereka sendiri, walaupun mereka mungkin berada di pihak yang lain ketika kelulusan Undi18 dilakukan pada 2019.
Sebagaimana yang dinyatakan di dalam pendapat penulis yang terdahulu, SPR sebagai badan bebas adalah pemudah cara di dalam pengurusan pilihan raya. Ia harus berusaha untuk melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh badan legislatif yang menjadi wakil untuk membawa suara dan kehendak rakyat. Setiap perkara baharu akan memberi cabaran kepada semua pihak, namun iltizam pihak-pihak yang terbabit akan dapat mengharungi cabaran-cabaran tersebut demi masa depan yang gemilang bagi negara kita.
Amerul merupakan bekas Ketua Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC)