8 APRIL 2021: Parti Warisan Sabah (WARISAN) memfailkan saman terhadap Hassan A Gani Pg Amir kerana gagal meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik selepas meninggalkan parti itu baru-baru ini.
Writ itu menamakan Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua Jr sebagai plaintif bagi pihak parti.
Antara lain, WARISAN memohon perintah mahkamah untuk memaksa Hassan, yang memutuskan hubungan dengan parti itu pada 25 Februari lalu memenuhi obligasi surat peletakan jawatan sebagai ADUN Sebatik yang telah ditandatanganinya sebelum ini.
Hassan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sebatik semasa Pilihan Raya Negeri Sabah pada September tahun lepas atas tiket WARISAN.
Pada Isnin lepas, Hassan telah menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semasa majlis sambutan ulang tahun kedua parti itu di Kota Kinabalu, Sabah.